Belajar, Berkongsi, Membina: Perjalanan Silang Budaya

Program silang budaya telah berjaya dilaksanakan pada 23 Julai 2024 di Sekolah Menengah Al-Itqan, Teluk Kumbar. Program ini bermula pada pukul 8.30 pagi dengan perarakan guru dan pelajar Sekolah Menengah Al-Itqan, menyambut ketibaan guru dan pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Perempuan Cina Persendirian.

Acara dibuka dengan menyanyi lagu Negaraku, lagu Negeri Pulau Pinang dan bacaan doa. Diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Tuan pengetua Encik Mohd Hafiz Abdul Ghani, dan ucapan penghargaan wakil guru Sekolah Menengah Perempuan Cina Persendirian oleh Puan Lim Chin Chin. Para pelajar Sekolah Menengah Perempuan Cina Persendirian juga memberikan pengenalan sekolah.

Persembahan yang mempamerkan kepelbagaian budaya diadakan termasuklah choral speaking, orkestra, tarian tradisional Cina, persembahan diabolo, nasyid, deklamasi puisi, dan dikir barat. Persembahan-persembahan ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami dan menghargai budaya masing-masing.

Selain itu, program ini turut merangkumi pelbagai aktiviti interaktif yang menarik. Para pelajar perempuan Sekolah Menengah Al-Itqan berpeluang menyertai aktiviti menulis goresan dan tulisan nama Cina sendiri, yang membolehkan mereka mempelajari seni tulisan daripada budaya yang berbeza. Aktiviti suai kenal juga diadakan untuk membolehkan pelajar dari kedua-dua buah sekolah berinteraksi secara langsung dan menjalin persahabatan.

Tayangan video adat Melayu dan keagamaan, yang bertujuan untuk meningkatkan pemahaman tentang kepercayaan dan amalan agama yang berbeza turut diadakan. Program ini diakhiri dengan pemberian cenderamata dan sesi bergambar bersama-sama sebagai kenang-kenangan program ini.

Kejayaan Program Silang Budaya dapat dilihat melalui penglibatan aktif para pelajar dalam semua aktiviti dan interaksi positif antara pelajar dari kedua-dua buah sekolah. Program ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk persefahaman dan mengeratkan hubungan antara pelajar daripada latar belakang budaya yang berbeza. Program ini telah memberikan peluang kepada para peserta untuk mengalami kepelbagaian budaya secara langsung, sekali gus mempromosikan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan generasi muda Malaysia.

Catatan: Guru-guru pengiring Program Silang Budaya